Monday, July 16, 2012

"Hilang citarasa klasik", punca kejatuhan A&W Malaysia?????

Sebelum ini, saya ada menulis satu entry mengenai kejatuhan A&W di Malaysia serta memorandum dan tuntutan dalam memantapkan perniagaan A&W Malaysia agar dapat bersaing dengan kuasa besar makanan segera lain seperti KFC, McD, Burger King, Wendy's, dan sebagainya. Dan kali ini, saya mendapat satu ilham untuk menulis entry pada kali ini. Kali ini saya akan sentuh tentang "kehilangan citarasa klasik" punca A&W Malaysia jatuh serta perbandingan dengan suasana A&W pada zaman dahulu.

Pekena utama A&W. Gambar hiasan.

Jatuhnya A&W kerana "citarasa klasik dibunuh"????


Kali ini, saya ingin menyentuh mengenai citarasa klasik A&W yang 'dibunuh' serta kaitannya dengan kejatuhan A&W Malaysia yang sekarang ini semakin teruk sehingga A&W Malaysia bakal menghampiri "era penamat"nya. Untuk pengetahuan, suasana A&W yang dirasai sekarang ini amatlah berbeza dengan suasana A&W ketika era kegemilangannya sehingga akhir 90an. Ketika itu, A&W di Malaysia amatlah setanding dengan KFC serta McD pada ketika itu dan auranya jelas terasa oleh setiap warga. Ketika itu, hanya KFC dan McD merupakan pesaing terhebat A&W pada ketika itu (Burger King & Wendy's masih belum memasuki pasaran Malaysia pada waktu itu, Marrybrown tidaklah sehebat sekarang, dan dahulunya ada Grandy's di Malaysia namun telah ditutup kerana tiada kekuatan yang ada untuk bersaing). Seperti yang anda ketahui, A&W merupakan restoran makanan segera pertama yang bertapak di Malaysia dengan cawangan pertamanya di Batu Road (kini Jln TAR) dibuka pada tahun 1963 diikuti dengan cawangan keduanya di Petaling Jaya yang dibuka pada lewat 60an.

Kekuatan A&W pada era kegemilangannya terletak pada citarasa klasik yang terdapat pada beberapa menu popular seperti Root Beer, Waffle, Chicken Bites, Chicken Sandwich, Coney Dog dan banyak lagi. Harganya pada ketika itu juga amatlah berpatutan jika dibandingkan dengan zaman sekarang ini. A&W juga amatlah kreatif dalam mengeluarkan produk-produk mainannya yang dapat menarik lagi minat kanak-kanak pada ketika itu (saya juga adalah peminat mainan A&W waktu itu dan jika terjumpa saja A&W, saya mesti nak ke A&W). Namun kini, segalanya berubah. Segala kemenarikan A&W ketika era terdahulu seperti seolah-olah hilang sebegitu sahaja. Segala citarasa klasik yang dinikmati sebelum ini seperti sudah berubah dan A&W kini seperti sudah berlainan dari A&W yang dahulu gara-gara transformasi yang dibuat terutama setelah diambil alih oleh KUB. A&W kini perlu kembali pada zaman seperti era kegemilangannya jika ia benar-benar ingin kembali bangkit dan mampu untuk bersaing dengan pengendali makanan segera lain yang kini semakin kuat.

Insya Allah, saya akan ceritakan lagi pada entry yang akan datang. Sekian.

No comments:

Post a Comment